Tenaga yang terganggu?



Punca kelemahan
Ada beberapa punca kelemahan.
1 – Dosa.
2 – Ketidak jelasan matlamat di tengah perjalanan.
3 – Mendatar dan tidak melakukan peningkatan serta penjagaan.

1 – Dosa.
Dosa adalah hijab antara kita dengan Allah SWT. Sebab sebenarnya, antara dua perkara yang tidak akan bersatu dalam satu masa adalah Cintakan Allah, dan Cintakan Keingkaran kepadaNya. Justeru, dosa menganggu hubungan kita dengan Allah SWT.
Bila jalan kepada sumber tenaga kita terganggu, semestinya tenaga tidak akan tersalur dengan baik kepada kita, bukan?
Sebab itu kita perasan, bila kita banyak melakukan dosa, hatta yang kita sangka ringan sekalipun, itu semua akan melemahkan kita untuk mendekatiNya. Kita akan jadi semakin malas, semakin penat, semakin lelah. Lama kelamaan, sekiranya kita tidak hentikan, dan lawan dengan mengeraskan diri menambah kebaikan, kita akan tewas, terjerumus ke lembah kehinaan.
2 – Ketidak jelasan matlamat di tengah perjalanan.
Ya, ada orang tu niat asal dia dah cantik dah. Buat ini kerana Allah. Nak dapat redha Allah SWT. Namun akhirnya, bila di tengah-tengah perjalanan, dia diuji dengan kejelasan matlamatnya. Mungkin ada orang puji dia soleh, mungkin ada orang tercinta nak dia berjaya dalam peperiksaan, mungkin ada ‘ism’ lain yang akhirnya menyebabkan dia menukar haluan matlamatnya.
“Aku beribadah ni, nak impress dia lah.”
“Dapat markah cemerlang, sah-sah orang puji dan pandang tinggi.”
Ya, ini semua akan melemahkan anda. Perlahan-lahan menghakis tenaga dalaman anda. Sebab hubungan kita dengan Allah SWT ketika itu telah terganggu. Maka tenaga yang tersalur kepada kita juga akan terganggu.
Nak bekerja keras tatkala tidak dilihat orang, akan jadi sangat sukar.
“Alah, bukan ada sesiapa tengok.” Dan kita akan terus jatuh dan jatuh.
3 – Mendatar dan tidak peningkatan serta penjagaan.
Kumpulan ini kumpulan asalnya yang bagus. Tetapi masalahnya, mendatar. Tiada peningkatan. Hari-hari baca Al-Quran 10 mukasurat, tanpa buat penambahan, atau kreatifkan lagi suasana pembacaan Al-Quran. Hari-hari Solat Subuh di Masjid yang sama, tanpa buat penambahan atau kreatifkan lagi suasana Solat Subuhnya. Hari-hari studi sendiri, tanpa buat penambahan atau kreatifkan lagi suasana studinya.
Lama-kelamaan, bosan menerjah. Dan perlahan-lahan semangat mengendur. Lalu jatuh dan tidak lagi istiqomah.
Ya, mendatar itu sebenarnya bukan satu istiqomah. Mendatar hanya akan membawa kepada kehancuran. Istiqomah walaupun secara literalnya bermaksud berterusan, tetapi secara konseptualnya istiqomah bererti meningkat sedikit demi sedikit dalam keadaan berterusan.
 Penyelesaian
1 – Kurangkan dosa. Padamkan terus jika mampu. Kurangkan dosa ini, tak berfungsi kalau tak disertai dengan banyakkan beribadah. Ada orang, dia tak nak buat dosa, dia pergi tidur. Ini tindakan yang hanya separuh bijak sahaja. Sebab, tidur tak memberikan dia apa-apa. Buat kebaikan seiring dengan meninggalkan dosa. InsyaAllah kekuatan akan bertambah dan diri akan jadi lebih bersemangat. Ya la, laluan tenaga dari sumbernya tak terganggu. Semestinya bertenaga!
2 – Jaga niat. Sentiasa perbaharui. Rajin-rajin muhasabah. Ya, ini penting. Ramai orang kadang-kadang tak tersedar yang dia dah tersasar dari niat dia yang sebenar. Salah niat ni, ala-ala salah masuk lorong la. Nak pergi rumah Pak Samad, masuk lorong pergi rumah Mak Senah. Memang pergi rumah Mak Senah la jawabnya. Kemudian kena selalu minta kawan-kawan tolong peringatkan diri. Kadang-kadang kita ni lupa diri.
3 – Bab mendatar ni, sebenarnya kita kena belajar meningkat. Kalau selama ini baca Al-Quran 10 muka surat, kita cuba la sedikit demi sedikit tambah. Kemudian, kalau rasa banyak sangat(ya la, sampai satu hari tu, dah satu juzu’ baca.) mungkin kita boleh kreatifkan dengan baca maknanya sekali ke. Boleh juga kreatifkan lagi dengan tukar jadi tadarus bersama rakan-rakan sambil betulkan tajwid. Benda-benda ini membakar lagi semangat kita untuk terus berada dalam kebaikan, mendapat tenaga daripada Allah SWT. Studi pun sama. Kreatifkan. Dari terperuk dalam bilik, cuba studi di library, cuba studi bersama rakan. Dari studi tak ada jadual, cuba berjadual dan sebagainya. Solat Subuh, kalau selama ini sekadar Solat Subuh sahaja, apa kata tambah dua rakaat sunat sebelum Subuh. Apa kata tambah Al-Mathurat selepas Subuh. Penambahan yang saya maksudkan, begitulah. Bukannya pergi tambah dua rakaat Subuh jadi empat. Hem…
Hilal Asyraf


0 comments:

Post a Comment